Mari kita mengenal dengan lebih dekat tentang GAYONG.
Nama Gayong
Perkataan
SILAT itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan
bunga-bunga tarian pelajaran GAYONG, dan pelajaran GAYONG itu pula dimaksudkan
kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat kesaktian yang
menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan, yang
terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu pergerakan pantas secara
automatik. GAYONG yang mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk,
tikam-menikam, tangkap-menangkap, hempas-menghempas, buang-membuang,
sekat-menyekat, elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis dan
seumpamanya lagi itu adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki
dan wanita. Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi
mempertahankan diri sebagai perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau
lawan. Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan,
kepantasan, kecekapan, keazaman, dan kepintaran masing-masing untuk mengalahkan
lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan
senjata, maka di dalam pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan GAYONG.
Tetapi pelajaran SILAT yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi
pelajaran GAYONG itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang
tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana
sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan
yang seumpama itu, tidaklah persembahan itu lebih merupakan suatu pertarungan
yang sungguh-sungguh berlaku di situ, malah hanya persembahan itu lebih
merupakan sebagai satu daripada ciri perlawanan yang dipersembahkan secara
imbasan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan dan kesenian bunga-bunga
tarian dalam pelajaran GAYONG yang disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa,
sabar, bertatatertib, tidak melanggar kesopanan dan kesusilaan dan tertakluk
pula kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama
itu dinamakan BERSILAT.
Erti Gayong
Ga
- Genggam
Berpegang kepada janji setia dan ikrar
yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang
diberikan.
Alif
- Angkat
Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan
Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.
Ya
- Yakin
Yakin kepada kebolehan diri sendiri
Wau
- Waras
Membuat pertimbangan yang sewajarnya
sebelum bertindak.
Nga
- Ngeri
Bersungguh-sungguh dalam segala
perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan
dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
Warna Gayong
Putih
Kesucian - Silat Seni Gayong adalah
bebas daripada sebarang unsur yang membawa kepada keburukan dan kehancuran.
Merah
Berani/Kepahlawanan - Setiap ahli
dipupuk semangat berani menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Ahli Gayong
juga bersemangatkan darah kepahlawanan.
Kuning
Beraja/berdaulat - Silat Seni Gayong
adalah seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu.
Hitam
Bayang-bayang/Rahsia - Merupakan
sosiostatus manusia yang tidak membezakan ahli-ahli silat dari segi warna kulit
dan darjat. Hitam juga membawa konotasi rahsia iaitu ilmu Silat Seni Gayong
mempunyai pelbagai rahsianya (...rahsia tersimpan di purbakala,ilham menyusun
zahir semula.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan