Sejarah Gayong Malaysia

Sejarah Gayong Malaysia 





Silat Seni Gayong diasaskan oleh Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau mempelajari persilatan ini daripada nendanya Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal pula mempelajari persilatan ini daripada Daeng Ambok Solok di Pulau Temiang, berdekatan Jambi, Sumatera. Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan Syed Zainal mengikut ceritanya telah diperintahkan oleh Sultan Ahmad Pahang untuk mencari buah keras di Pulau Bangka, Riau, Indonesia. Di Pulau Temiang, yang berdekatan dengan Pulau Bangka, rombongan mereka telah bertemu dengan Daeng Ambok Solok. Daeng Ambok Solok telah bermurah hati untuk menurunkan ilmu Gayong kepada pahlawan Pahang tersebut agar dapat digunakan untuk mempertahankan tanah air mereka kelak. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka mengikat janji untuk kembali lagi ke Pulau Temiang setelah selesai menjalankan amanah Sultan. Dalam perjalanan pulang ke Pahang, Mat Kilau diarahkan untuk membeli senapang kopak di Singapura. Mat Kilau, Syed Zainal dan Dato’ Bahaman telah belayar kembali ke Pulau Temiang seperti yang dijanjikan. Mereka telah menuntut ilmu Gayong selama kira-kira dua tahun daripada Daeng Ambok Solok. 
Silat Seni Gayong ini dipercayai telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan telah digunakan oleh hulubalang-hulubalang Melaka dalam usaha menentang kemasukan penjajah Portugis. Nama asal Silat Seni Gayong ialah Silat Seni Sendi Harimau. Silat Seni Gayong mempunyai tujuh peringkat, iaitu: 

  •  Tapak Gayong(permulaan tapak silat) 
  •  Seni Tapak Gayong(Pecahan Tapak Gayong)
  •  Seni Keris (langkah pahlawan cara menggunakan senjata)
  •  Seni Simbat (cara bermain belantan atau pedang)
  •  Seni Yoi (buah pukulan)
  •  Seni Belian (silat harimau bersilat cara koyak-mengoyak anggota lawan)
  •  Seni Cindai(tarian silat menggunakan kain sentung atau kain tudung)
  •  Peringkat tertinggi dalam Silat Seni Gayong akan dianugerahkan bengkung hitam Harimau Pelangi Cula Sakti (Tingkatan I - VI).


Pegawai-pegawai Pertubuhan, ahli Lembaga Adat dan Majlis Guru-gurulatih dianugerahkan dengan sandang masing-masing.



Silat Seni Gayong dicipta dan diasaskan oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis(cicit kepada Daeng Kuning/Panglima Hitam). Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal merupakan salah seorang hulubalang Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera.
Selama tiga tahun Meor Abdul Rahman berlatih bersama-sama dengan murid-murid Syed Zainal yang lain. Ketika berusia 19 tahun, Meor Abdul Rahman telah berjaya menguasai selok-belok ilmu Silat Seni Gayong, termasuklah adat-istiadatnya. Walaupun demikian, nenda beliau tidak dapat mengkhatamkannya kerana menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh " orang ghaib " di suatu tempat yang terletak di sempadan negeri Siam-Tanah Melayu.
Pada tahun 1936, beliau telah dikhatamkan oleh " Laksamana Hang Tuah " di dalam mimpinya ketika beliau tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di tebing sungai dalam kawasan hutan Menam, Thailand. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan dan mempertahankan diri, seterusnya diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu.
Meor Abdul Rahman telah digelar " Rahman Sendo " oleh baginda Sultan Alang Iskandar setelah menunjukkan kegagahan dan kependekarannya di hadapan sultan dan pembesar-pembesar istana. Baginda Sultan juga telah berkenan untuk mengambil beliau sebagai anak angkat dan Meor Abdul Rahman telah tinggal di istana sehinggalah baginda Sultan mangkat pada tahun 1938.
Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau telah memperoleh pekerjaan di kem tentera British, iaitu di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Di tempat kerjanya, Meor Abdul Rahman turut mengajar tentera British seni tempur tanpa senjata.

Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1942, Meor Abdul Rahman bersama-sama keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, iaitu sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran, beliau dan keluarganya akhirnya dibenarkan menumpang di pulau tersebut. Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula diperkenalkan semula, iaitu kepada penduduk-penduduk Pulau Sudong, kerana pada zaman yang tiada undang-undang ketika itu, seni silat amat-amat diperlukan untuk mempertahankan maruah diri dan kaum keluarga.Setelah Meor Abdul Rahman berjaya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada ancaman tentera Jepun, barulah Silat Seni Gayong diterima dan diajar kepada seluruh penduduk Pulau Sudong.Setelah beberapa ketika berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun pulang semula ke Taiping, Perak.

Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Taiping oleh pemerintah Jepun. Beliau telah dituduh mahu menentang pemerintahan Jepun (kerana bertindak melawan askar Jepun yang cuba mengganggu isterinya). Beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau dengan gagahnya telah melawan dan berjaya menumpaskan askar-askar Jepun(lengkap bersenjata) yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa itu, pihak Jepun telah membebaskan Meor Abdul Rahman kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar lagi. Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi tentera Jepun.

Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Meor Abdul Rahman dan keluarganya sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong. Beliau telah dipelawa menjadi penghulu di situ. Setelah menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah berkembang ke pulau-pulau berhampiran, termasuklah pulau-pulau yang berada di dalam wilayah Indonesia.

Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Pada tahun ini juga, beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British di atas jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara dari jabatan kepolisan, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran mereka.

Inilah sedikit sebanyak yang ak boleh pamerkan..kalau korg nk lagi..CARI SENDIRI LAH..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan